KERDIL TIADA KUASA




Ini adalah tentang sebuah cerita lama,baru berniat untuk menulisnya di sini. Kisah sekitar tiga bulan lalu. Tarikhnya masih segar di dalam ingatanku iaitu pada 06.04.2019.  Kisah ini bermula apabila dua orang sahabatku ( kak Mia dan Shira ) mengajak untuk pergi ke kolam ikan milik ibunya, aku pernah pergi sekali pada tahun 2018. Tempatnya tidak jauh, tetapi perlu merentas lautan untuk sampai di kolam itu, sekitar 15 minit menaiki bot. Malam itu, sempat aku bertanya apa yang perlu untuk dibawa ke sana, pergi ke sana dengan niat untuk tenangkan fikiran, menikmati alam, berenang dan meluangkan masa bersama-sama.

Keesokkan paginya, sekitar jam 10 pagi kak mia menaiki kancil comelnya mengambil aku ke rumah, kemudian kami bersama-sama untuk mengambil shira di rumahnya. Gerak dah lewat, tapi masih belum sempat bersarapan. Kami bertiga masing-masing perut kosong, perut sudah mula berkeroncong. Aku pun meminta kak mia untuk singgah di sebuah gerai berdekatan, banyak juga hasil belian, macam-macam kuih di pandang, jadi rambang mata, akhirnya beli macam-macam kuih. Lalu ternampak pula peniaga yang sedang menjual “ Teh Ais Sedap ” di seberang jalan, tanpa fikir panjang aku dan shira menuju ke sana.

Setelah itu, kami kembali ke kereta kerana kak Mia sedang menunggu dengan lapar dan kehausan. Kami jamah sedikit kuih muih dan berkongsi Teh ais sedap yang dibeli tadi. Sempat juga kereta kami tiba-tiba enjin tidak mahu hidup. Berkali-kali kak mia cuba, baru boleh hidup. Lega kami dibuatnya, Alhamdulillah. Lalu kami teruskan perjalanan ke rumah kakak ipar kepada kak Mia, kerana ada mak dan anak buah kak Mia yang ikut pergi ke kolam bersama. Sampai sahaja di sana, mak kak mia segera memasukkan barang dan peralatan yang hendak di bawa ke kolam nanti, yang paling penting bekal buat memasak di sana.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit daripada pekan menuju ke jati untuk pergi ke kolam. Dalam perjalanan, dihiburkan dengan si Amman, anak buah kak Mia yang banyak bicarannya mengalahkan orang tua. Katanya, kita ke ‘ Pulau Nenek Tayyang ‘, semua orang ketawa dengan gelaran ‘ kolam ‘ yang di berikan itu. Di namakannya Pulau Nenek Tayyang sempena nama mak kak Mia, sebagai neneknya. Aku hanya ketawa kecil dan senyum mendengar telatahnya.

Sampai di jeti, kami semua mengeluarkan semua barang yang perlu untuk di bawa ke kolam. Sementara menunggu seorang pakcik ( pakcik Din ) yang akan mengambil kami menaiki bot untuk menuju ke sana. Sekitar 10 minit juga berpanas di bawah cahaya matahari hehe. Alhamdulillah pakcik pun sampai, rasa teruja dapat menaiki bot yang sederhana itu. Dengan Nama Allah, kami bertolak menuju ke kolam. Pakcik dan mak kak Mia perlu menggayuh bot buat sementara kerana air tidak begitu dalam, sementara kami yang lain sibuk bergambar dan merekod video untuk di jadikan kenangan. Dan akhirnya, kami sudah berada di air laut yang dalam, pakcik pun bersedia untuk menghidupkan enjin untuk meneruskan perjalanan. Aku banyak diam ketika itu, kerana sedang menghayati ciptaan Tuhan yang begitu menakjubkan. Sungguh, aku terpaku, lautan lebih luas dari daratan. Sungguh, tiada yang dapat menandingi ciptaaNya, dan sungguh tiada yang mampu untuk mencipta lautan pada zaman ini. Aku terlihat juga beberapa bot nelayan yang sedang menjala ikan, ada yang berenang, dan terlihat rumah-rumah atas air di pinggiran.

Alhamudulillah, kami pun sampai di kolam. Tapi air masih surut. Kata kak mia, inilah masa untuk kita mencari ataupun mengarang siput ‘ Dollen ‘ dengan sepuasnya ( Siput ‘Dollen’ ini merupakan salah satu makanan orang bajau sabah ). Aku dan Shira, teruja hendak mencari siput sendiri. Aku punya pengalaman sekali ‘mengarang’ semasa di pulau bum-bum bersama keluarga. Apa yang menyedihkan, hampir 30 minit aku baru terjumpa ‘ dollen’ yang di maksudkan. Hanya Tuhan yang tahu, bertapa hendaknya aku putus asa saat itu. Haha

Inilah siput yang kami panggil sebagai ' Dollen '

Selesai sambung bersarapan, perut sudah kenyang. Kak Mia pun segera mengajak kami untuk turun ke laut yang surut itu. Mulalah pencarian “ dollen ‘ yang di maksudkan. Apa yang kami tidak sedari, kami mencari siput sekitar jam 11.30 pagi, dan selesai pada pukul 3.00 petang. Sungguh tak sedar masa berlalu begitu pantas, dan tak sedar kulit muka dah ‘ sunburn’ berpanasan di atas laut. Kerana seronok, muka jadi hitam pun rasa bahagia. Haha.

Aku dan Shira, segera naik ke  rumah untuk menunaikan solat zohor, kerana sudah hendak di penghujung waktu. Bab ini , jangan di contohi. Kalau boleh kita solat awal waktu. Sebelum solat, aku sempat membersihkan diri dan bertukar pakaian. Lalu kami solat berjemaah.
Selesai solat, kami di hidangkan makanan tengahari, syukurlah dua orang pakcik yang menjaga kolam itu yang masakan lauk, semuanya makanan orang bajau/suluk, ada ikan goreng, tompek, mangga kilau, dollen dan kahanga hasil daripada pencarian kami bersama. Alhamdulillah, bila dapat makan dollen, rasa sangat puas hati, sebab sudah lama teringin.

Selesai makan, perut dah kenyang, sudah bersembang dan gelak ketawa bersama, kak Mia pun mengajak kami untuk mula berenang kerana air laut pun semakin dalam. Tapi disebabkan aku sudah bersalin baju, sudah malas untuk membasahkannya lagi, jadi aku tidak berniat untuk berenang lagi, berkali juga kak mia dan shira cuba hasut untuk bersama-sama berenang, tetapi aku tetap menidakkan dengan alasan, malas bertukar pakaian, dan takut diri rasa kepenatan, sebab sebelah malam nanti aku kena mengajar kelas mengaji seperti biasa. Jadi aku mengambil keputusan untuk melihat saja gelagat mereka dan menawarkan diri untuk mengambil gambar dan merakam mereka semasa berenang.

Puas mereka berenang, aku mengajak mereka naik ke rumah untuk menunaikan solat asar berjemaah. Macam biasa, bila part siapa jadi imam, ketiga-tiga kami menolak, ,masing-masing beralasan, dan akhirnya shira yang mengimamkan solat kami. Namun, semasa kami sedang solat, tiba-tiba kedengaran jeritan suara mak kak mia dari luar rumah yang memanggil pakcik yang menjaga kolam mereka. Namun, jeritan itu membuatkan aku sendiri hilang focus untuk solat, tertanya-tanya ada apa yang berlaku di luar tetapi cuba kembali focus untuk selesaikan solat sehingga salam. Selesai solat dan doa yang pendek, kami bertiga bergegas keluar rumah, bertanyakan apa yang sedang berlaku.

Rupa-rupanya, bot sederhana yang kami naiki sudah hanyut dibawa arus air laut dan mula di tenggelami air. Kelihatan pakcik din sedang berenang, cuba mencapai semula bot kami. Dan Alhamdulillah, bot dapat dicapai semula, namun perlu susah payah untuk mengeluarkan air laut dari dalamnya. Saat itu, aku berasa sedikit gelisah dan bimbang, seandainya bot tersebut rosak, bagaimana kami hendak pulang ke daratan. Namun, aku cuba menutup rasa sedih itu, dan cuba untuk bertenang serta berdoa semoga Allah mudahkan urusan kami.

Setelah itu, kak Mia, Shira dan anak buah kak Mia meneruskan aktiviti mereka dengan berenang, dan macam biasa, aku hanya melihat mereka dari atas rumah. Saat itu, aku memang asyik melihat jam, kerna takut balik lewat seandainya bot masih belum baik. Lalu, aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 5 .00 lebih petang, namun masalah bot masih belum selesai. Aku memanggil kak Mia dan Shira untuk naik ke atas sebab hari sudah mula petang, angin bertiup kencang, laut semakin dalam,dan ombak pun semakin kuat. Aku mula risau, apa nasib kami setelah ini.

Setelah jam menunjukkan hampir pukul 5.30 petang, Alhamdulillah bot kami sudah kelihatan baik dan sudah boleh digunakan untuk kami pulang ke daratan. Allah mendengar doa-doa kami. Mak kak Mia pun meminta kami bergegas untuk naik ke dalam bot itu, satu persatu kami menuruni anak tangga dengan tenang.  

Barang sudah di angkat dan kami semua sudah bersedia untuk menuju ke darat. Pakcik Din pun, mula menghidupkan enjin, namun apa yang berlaku enjin masih tidak hidup. Pakcik Din mengulanginya semula, tapi situasi masih sama, sedangkan bot sederhana kami sudah mula dibawa hanyut asbab angin yang kuat dan ombak. Saat itu, macam-macam yang ada dalam fikiran, sehinggakan terdetik mahu memberikan cadangan kepada kak mia dan yang lain untuk naik semula ke rumah dan balik pada hari esok. Tapi rasa takut juga untuk bersuara. Aku mula rasa takut, aku takut ditenggelami air laut, yang lebih aku takutkan , aku sendiri tidak pandai untuk berenang. Mataku mula berkaca-kaca.

Situasi mula sedikit tegang, semua orang senyap, lalu kak Mia mula bersuara, meminta aku dan Shira untuk tidak panic. Aku hanya mengiakan tetapi tangan mengenggam erat dengan tali beg milik Shira. Setelah berkali pakcik cuba menghidupkan enjin, Alhamdulillah bot sudah berfungsi dengan baik, namun beberapa minit kemudian enjin bot mula mati semua. Saat itu, kami sudah sedikit jauh dari rumah, ketakutanku semakin bertambah. Aku istigfar..istigfar..dan istigfar.. Sempat aku bermonolog, mungkin ini adalah hari terakhir untuk aku merasai nikmat hidup. Airmataku mula mengalir, sungguh banyak dosaku, sedikit sangat amalku, dan aku mungkin tidak akan sempat bertemu dengan ke dua orang tuaku. Aku menangis dalam diam. Sempat aku melihat, keadaan suasana laut yang sunyi tanpa kapal-kapal dan bot yang lalu seperti waktu pagi, mungkin seba hari sudah hampir malam.

Namun, Allah masih memberikan harapan, enjin bot kami kembali baik. Pakcik Din dengan tekun membawa bot. Kami semua mula dibasihi air laut dek tempias dari ombak yang kuat. Baju, tudung, dan seluruh pakaianku sudah basah kuyup, cermin mataku penuh dengan tempias air laut, mataku mula pedih, airmata sudah bersatu dengan air laut.

Namun, dengan pengharapan itu, aku seperti tercari-cari apakah ayat terbaik yang perlu aku sebutkan untuk menggambarkan bahawa “ Sungguh, Kami semua perlukan pertolonganMu ya Rabb ”. Lantas aku terfikir untuk menyebut kalimah “ lahawla wala quwwata illabillahil aliyyil azim ” , Tiada kekuatan dan tiada kekuatan namun dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.. Aku ucapkan kalimah itu dengan mata tertutup, kerna mata sudah sangat pedih, airmataku satu persatu mengalir, saat itu tiada lagi yang aku perlukan..selain Allah berikan peluang untuk tetap terus hidup. Namun, dalam masa yang sama, aku sempat berdoa, seandainya hari itu adalah hari terakhirku, semoga kematianku adalah kematian yang baik. Sungguh aku terasa kerdil, dan terasa sangat aku tiada kuasa sedikitpun melainkan hanya Dia.

Beberapa minit kemudian, jeti sudah kelihatan, sekali lagi airmataku semakin deras, kerna Allah masih mengizinkan kami semua kembali ke darat dalam keadaan selamat. Dan apa yang paling terkesan, ketika kami sampai, kami di sambut dengan laungan azan magrib daripada surau kampung sebelah. Sungguh, Allah yang selamatkan kami, sungguh Allah yang bantu permudahkan perjalanan kami. Sungguh, semuanya asbab Allah. ;(

Kami mula mengangkat barang naik ke jeti, dan satu persatu menaiki anak tangga. Hatiku masih berbisik syukur pada Allah. Dan kami masing-masing saling berpandangan, tersenyum sendiri atas nikmat peluang untuk tetap masih hidup.  Setelah semuanya selesai, pakcik Din perlu kembali ke kolam, aku sedikit risau, kerana beliau sendiri di atas bot dan hari sudah mula gelap. Sempat aku menjerit kecil “ Semoga selamat pakcik Din ! ).

Sambil-sambil berjalan kaki menuju ke arah kenderaan kami, aku dan Kak Mia sempat muhasabah dan bersyukur atas pengalaman yang Allah beri. Allah beri kami merasai dengan dekat, bahawa kita semua akan mati, tidak kira dimanapun berada. Terima kasih Allah, pengalaman yang sungguh menginsafi diri, menyadarkan kami bahawa “ Kami kerdil, Tiada Kuasa ” melainkan Engkau adalah yang paling berkuasa.

Aku selitkan, perkongsian luahkanku setelah sehari melalui situasi itu,

Yang terakhir.

Ditengah lautan luas,
dihempas ombak,
angin yang kencang,
laut yang dalam,
meneruskan,
mengemudi perahu kecil,
tanpa kapal dan perahu,
yang biasa lalu dihadapan,
mata tidak mampu melihat ke hadapan,
dek tempias pukulan ombak yang kencang,
bait-bait zikir menjadi penenang, 
sikit demi sikit,
airmata mengalir,
terkenangkan diri.
yang masih banyak,
lompong-lompong,
tanda belum bersedia menghadap Dia,
Hari semakin gelap,
tiada harapan yang lain,
agar tetap berada di atas,
diberi peluang,
untuk hidup lagi,
merasa nikmat Iman dan Islam,
Terima Kasih Allah,
masih meminjamkan nyawa, 
saat fikiran,
bahawa itu yang terakhir.

Firman Allah, dalam Surah Al Isra' ayat 67, 



Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).

Kasihry,
Semoga tetap selalu bersyukur.
070819.




Comments

Popular posts from this blog

Menjahit Sayapku

Ada~~

Malam Yang Pekat